HAL EHWAL MURID

Pengenalan
Pengurusan Hal-Ehwal Murid (HEM) merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Sekiranya tidak dikendalikan dengan baik ia akan mencacatkan dan menjejaskan perjalanan dan prestasi sekolah itu sendiri. Dengan adanya permintaan dan harapan yang tinggi di kalangan murid/pelajar dan masyarakat seluruhnya terhadap kemampuan sekolah, pengurus atau pemimpin sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Pengurus/pemimpin sekolah mesti berupaya menjadi penggerak dan penggalak perubahan untuk mempengaruhi ahli-ahli dalam sekolah menuju ke arah kecemerlangan. Ini kerana pelajar-pelajar merupakan aset negara masa depan. Jatuh bangunnya negara bergantung kepada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan oleh pendidikan. Untuk membantu individu supaya seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (J.E.R.I) sebagaimana yang tercerna dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bukanlah satu perkara yang mudah. Di peringkat sekolah ia berkehendakkan satu perancangan yang lebih berstruktur dan strategik untuk memastikan sesebuah sekolah itu memenuhi ciri-ciri instituti yang berjaya dalam bidang akademik dan bukan akademik. Oleh itu untuk mencapai hasrat ini, jawatan khas Guru Penolong Kanan (HEM) telah diwujudkan di sekolah bagi membantu pihak pentadbir (guru besar/pengetua) dalam memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudahcara, penyelaras, pengawal, penawar, dan kaunselor kepada ahli-ahli di bawah pengawasannya khususnya pelajar-pelajar.

Siapakah Pelajar-Pelajar Sekolah?
Pelajar-pelajar sekolah terdiri daripada mereka yang berumur antara 7 hingga 18 tahun. Pelajar-pelajar sekolah rendah ialah mereka yang berumur antara 7 hingga 12 tahun manakala pelajar sekolah menengah pula berumur antara 13 hingga 18 tahun. Mengikut ahli-ahli psikologi, kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang berada pada setiap peringkat umur mesti melaksanakan tugas perkembangan masing-masing. Kegagalan memenuhi tugas perkembangan pada sesuatu peringkat boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak atau pelajar-pelajar pada peringkat perkembangan seterusnya. Pengurus-pengurus di peringkat sekolah mestilah memahami diri pelajar sebagai organisme yang berkembang dan kompleks. Mereka menghadapi pelbagai masalah dan cabaran yang kompleks dalam proses perkembangan diri dan memerlukan bantuan serta bimbingan daripada guru-guru di sekolah.

Konsep Pengurusan dan Pengurusan Hal Ehwal Murid
Menurut Peter F. Drucker, pengurusan boleh ditakrifkan sebagai proses sosial yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang lebih berkesan terhadap sesuatu objektif yang ditetapkan.
Jaafar Muhammad (1988) pula mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi (termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan) dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan untuk tujuan mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan-pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.
Oleh itu, berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan HEM merupakan satu proses pengendalian resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Dalam waktu yang sama ianya dapat memberikan rasa kepuasan, semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan semua pihak yang terlibat dalam instutiti sekolah sama ada pentadbir, pelajar, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa, dan masyarakat.
Dalam istilah yang mudah pengurusan HEM adalah proses-proses yang berhubungkait dengan:

i. Perancangan kerja atau program bagi murid/pelajar
ii. Pengelolaan murid/pelajar dan program secara berkesan
iii. Pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi
iv. Penyeliaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti
v. Pengawalan, penilaian prestasi murid/pelajar dan penilaian program

Ada juga yang melihat proses pengurusan HEM tersebut dari aspek:
i. Perancangan (planning)



Proses menentukan objektif dan cara operasi untuk
aktiviti-aktiviti HEM yang dijalankan bertujuan untuk mencapai
matlamat dengan cara yang paling berkesan.
ii. Pengelolaan (Organising)







Pengumpulan resos-resos sama ada manusia atau bukan manusia
dan pembentukan prosedur dalam menguruskan program HEM.
iii. Pentadbiran/Memimoin (Leading)







Merangkumi kepemimpinan, motivasi, penyeliaan, dan penyelarasan
terhadap program/rancangan HEM berkenaan.
iv. Pengawalan/Pemulihan (Controlling)







Ini berkait dengan laporan, maklumbalas, tindak ikut untuk
memperbaiki rancangan HEM yang dilaksanakan.

Sejarah Perkhidmatan HEM/Personalia di Sekolah

Di negara barat seperti Amerika dan Syarikat, pengurusan personalia pelajar yang lebih dikenali sebagai Perkhidmatan Bantuan (student services) atau Perkhidmatan Personelia Pelajar (student personnel services) pada awal 1920-an yang bermula di instituti pengajian tinggi dan kemudiannya berkembang pula sehingga ke peringkat sekolah. Dengan berpegang kepada pendapat bahawa sedangkan mahasiswa di pengajian tinggi yang lebih dewasa pun memerlukan perhatian dalam aspek peribadi, kanak-kanak di sekolah tentulah lebih memerlukan perhatian dalam aspek-aspek yang disebutkan. Nordin (1993:17) memetik kandungan buku Sturtevant dan Hayes (1930) yang menyatakan bahawa aspek perkhidmatan yang disediakan oleh pekerja personelia murid di barat pada peringkat awal meliputi bimbingan pelajaran dan pekerjaan, pelanggaran disiplin, moral, hal-hal sosial, masalah kesihatan tubuh badan dan faktor ekonomi yang menganggu kehidupan sebagai pelajar. Nama-nama jawatan yang pernah dicatatkan dalam Education Research Bulletin pada awal sejarah perkhidmatan ini termasuklah pegawai penjaga kedatangan murid, guru pelawat, ahli psikologi sekolah, ahli psikitri sekolah, penyelia dan pegawai kesihatan sekolah.
Seperti juga di negara-negara barat, di Malaysia, perkhidmatan hal ehwal pelajar secara rasmi juga dimulakan di peringkat universiti iaitu pada penghujung tahun 1960-an dan awal 70-an ekoran gerakan agresif para mahasiswa universiti dan kemudiannya kerajaan mewujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor Disiplin buat pertama kalinya yang kemudiannya diubah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Di peringkat sekolah, perkhidmatan yang secara konsepnya termasuk di bawah ruang lingkup personalia murid telah lama wujud. Tugas menjaga disiplin pelajar sebenarnya telah wujud menyamai sejarah pendidikan formal pendidikan di Malaysia itu sendiri. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling pula wujud pada awal tahun 1960-an. Bagaimanapun perkhidmatan `hal ehwal murid’ secara formal adalah fenomena awal tahun 1980-an. Jawatan Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) hanya diisi dan diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran pada awal tahun tersebut. Ini meliputi semua sekolah menengah hingga ke sekolah rendah.

3 comments: